Khamis

Ujian: satu rukun hidup?

              Entah berapa banyak keadaan getir dan runsing melanda hidup ini, doa ini salah satu 'penyejuk perasaan' dan pemberi harapan yang menjadi jambatan yang menghubungkan ujian hidup dengan Tuhan yang memiliki segala kehidupan.
Doa ini jika dibaca dengan jiwa yang benar-benar bergantung kepada Allah, maka saya yakin ketenangan itu hadir sebelum pertolongan Allah itu turun. Firman Allah menceritakan hal Musa a.s. dan doanya: (maksudnya)
"Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa: "Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir" (Surah al-Qasas 24).
Maksud Nabi Musa a.s. beliau amat fakir atau amat memerlukan kepada apa sahaja kebaikan yang akan Allah berikan kepadanya bagi menghadapi suasana dirinya ketika itu. Dalam bahasa al-Quran yang indah al-Quran riwayatkan ucapan Musa a.s "Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir". Sangat ringkas, namun sangat bermakna. Sudah pasti ucapan asal Musa a.s dalam bahasa Hebrew, namun Allah telah merakamkan ke dalam bahasa Arab yang padat dan indah.
 
               Banyak ujian hidup ini sebenarnya amat bermakna jika kita mahu menghayatinya. Betapa ramai orang yang menemui iman dan amalan soleh dek kerana ujian yang menimpanya. Berapa ramai manusia yang bersarang bongkak dan takabur dalam jiwa, tidak dapat ditegur dan dididik, tetapi akhirnya menjadi insan yang tawaduk kepada Allah dan menghargai orang lain setelah melalui ujian hidup yang getir. Betapa ramai pula insan yang soleh dan disayangi Allah dinaikkan darjat dan nilainya di sisi Allah disebabkan ujian yang menimpanya.

Firman Allah: (maksudnya)

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.(Surah al-Baqarah 155-157).

Kita tidak meminta ujian, tetapi kita sentiasa perlu tahu bahawa ujian itu adalah rukun hidup. Ujian bagaikan bicara atau 'sapaan' Allah kepada kita agar kita ingat apa yang lupa, ubah apa yang salah, atau untuk kita tambahkan pahala dan padamkan dosa. Sabda Nabi s.a.w:

"Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa)" (Riwayat Muslim).

Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Mungkin dia yang dilihat oleh orang lain sedang dalam ketenatan cabaran tetapi sebenarnya sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan. Melihat orang yang susah, mereka yang dizalimi, mereka yang kesempitan atau menderita kesakitan menyebabkan kita terlintas segera dalam perasaan "dia di sisi Allah mungkin lebih baik daripada diriku ini".

Kita semua akan melalui 'bicara dan didikan Tuhan' melalui pentas ujian. Kita mengharapkan ujian akan membawa kita kepada sesuatu yang lebih baik. Ujianlah yang telah membawa Musa a.s. kepada berbagi kurniaan. Untuk itu kita wajar selalu merintih kepada Allah seperti Musa a.s.: "Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir" ("Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir").

Petikan dari Blog Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Selasa

Pahlawan Islam akan bangkit semula di tempat runtuhnya?

Islam bermula pada tahun 622 apabila wahyu pertama diturunkan kepada rasul yang terakhir iaitu Muhammad bin Abdullah di Gua Hira', Arab Saudi. Sejarah Islam menceritakan perkembangan Islam sehinggalah sekarang.

Pengenalan

Islam muncul di Semenanjung Arab pada kurun ke-7 masihi apabila Nabi Muhammad s.a.w. mendapat wahyu daripada Allah s.w.t. Selepas wafatnya Rasullullah s.a.w. kerajaan Islam berkembang sejauh Lautan Atlantik di Barat dan Asia Tengah di Timur. Lama-kelamaan umat Islam berpecah dan terdapat banyak kerajaan-kerajaan Islam lain yang muncul.

Walau bagaimanapun, kemunculan kerajaan-kerajaan Islam seperti kerajaan Umaiyyah, kerajaan Abbasiyyah, kerajaan Seljuk Turki Seljuk, kerajaan Uthmaniyyah Turki Uthmaniyyah, Empayar Moghul India, dan Kesultanan Melaka telah menjadi antara empayar yang terkuat dan terbesar di dunia. Tempat pembelajaran ilmu yang hebat telah mewujudkan satu Tamadun Islam yang agung. Banyak ahli-ahli sains, ahli-ahli falsafah dan sebagainya muncul dari negeri-negeri Islam terutamanya pada Zaman Keemasan Islam.

Pada kurun ke-18 dan ke-19 masihi, banyak kawasan-kawasan Islam jatuh ke tangan penjajah Eropah. Selepas Perang Dunia I, Empayar Turki Uthmaniyyah iaitu empayar Islam terakhir tumbang menyembah bumi.

Nabi Muhammad s.a.w.

Semenanjung Arab sebelum kedatangan Islam merupakan sebuah kawasan yang tidak maju. Kebanyakkan orang Arab merupakan penyembah berhala dan ada sesetengahnya merupakan pengikut agama Kristian dan Yahudi. Mekah ialah tempat suci bagi bangsa Arab ketika itu kerana di situ terdapatnya berhala-berhala agama mereka dan juga terdapat Telaga Zamzam dan yang paling penting sekali Kaabah.

Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan di Mekah dalam Tahun Gajah (570 atau 571 masihi). Baginda merupakan seorang anak yatim lagi selepas ayahnya Abdullah dan emaknya Aminah meninggal dunia. Baginda dibesarkan oleh pakciknya iaitu Abu Talib. Baginda kemudiannya berkahwin dengan Siti Khadijah dan menjalani kehidupan yang selesa dan aman.

Baginda tidak menggemari suasana Mekah yang penuhi dengan masyarakat yang mempunyai masalah sosial yang tinggi. Selain dari memperdagangkan berhala, masyarakat Jahilliah turut menanam bayi-bayi perempuan. Baginda banyak menghabiskan masa mencari ketenangan digua Hira'. Sehinggala ketika Nabi Muhammad s.a.w. berusia lebih kurang 40 tahun, baginda telah didatangi oleh Malaikat Jibril a.s. Selepas beberapa ketika baginda mengajar ajaran Islam secara tertutup kepada rakan-rakan terdekatnya dan seterusnya secara terbuka kepada seluruh penduduk Mekah.

Pada tahun 622 masihi, baginda dan pengikutnya berhijrah ke Madinah. Peristiwa ini dipanggil Hijrah. Semenjak daripada peristiwa itu bermulalah Kalendar Islam.

Mekah dan Madinah kemudiannya berperang. Nabi Muhammad s.a.w. memenangi banyak pertempuran walaupun ada di antaranya tentera Islam tewas. Lama kelamaan orang-orang Islam menjadi kuat dan berjaya membuka Kota Mekah. Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., seluruh Semenanjung Arab di bawah penguasaan orang Islam.

Perkembangan Islam

Arab selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.

Secara umumnya Sejarah Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. telah berkembang secara serius diseluruh dunia. Kerajaan Bani Ummaiyyah, Kerajaan Bani Abbasiyyah, dan Empayar Turki Uthmaniyyah boleh dikatakan penyambung kekuatan Islam selepas pemerintahan Khulafa al-Rasyidin.

Khulafa al-Rasyidin

* 632M- Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Usamah ibn Zaid mengetuai ekspedisi ke Syria. Kempen menentang kumpulan Murtad iaitu Bani Tamim dan Musailamah al-Kazzab.
* 633M- Pengumpulan Al Quran bermula.
* 634M- Kewafatan Saidina Abu Bakar. Saidina Umar Al-Khatab dilantik menjadi khalifah. Penaklukan Damsyik dan seterusnya kempen meluaskan jajahan Islam di Tanah Parsi
* 635M- Penawanan Madain, ibukota Empayar Parsi Sassanid.
* 636M- Penaklukan Syria, Mesopotamia, dan Palestin.
* 637M- Mesir ditawan.
* 638M- Penawanan Baitulmuqaddis oleh tentera Islam.
* 640M- Kerajaan Islam Madinah mula membuat duit syiling Islam.
* 644M- Saidina Umar mati syahid akibat dibunuh. Saidina Uthman Affan menjadi khalifah.
* 645M- Kempen di Afrika Utara. Cyprus ditakluk.
* 646M- Kempen menentang Byzantine.
* 647M- Angkatan Tentera Laut Islam ditubuhkan & diketuai oleh Muawiyah Abu Sufyan. Perang di laut menentang angkatan laut Byzantine. Empayar Parsi Sassanid ditumpaskan.
* 648M- Pemberontakan menentang pemerintahan Saidina Uthman.
* 656M- Saidina Uthman wafat akibat dibunuh. Saidina Ali Abi Talib dilantik menjadi khalifah. Terjadinya Perang Jamal.
* 657M- Saidina Ali memindahkan pusat pemerintahan daripada Madinah ke Kufah. Perang Siffin meletus.
* 659M- Saidina Ali menawan kembali Hijaz dan Yaman daripada Muawiyah. Muawiyah mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah Damsyik.
* 661M- Saidina Ali wafat dibunuh. Tamatnya pemerintahan Khulafa al-Rasyidin. Saidina Hasan (Cucu Rasulullah S.a.w) kemudian diangkat sebagai Khalifah ke-5 Umat Islam menggantikan Saidina Ali.
* 661M- Setelah sekitar 6 bulan Khalifah Saidina Hasan memerintah, 2 kelompok besar pasukan Islam yaitu Pasukan Khalifah Saidina Hasan di Kufah dan pasukan Muawiyah di Damsyik telah siap untuk memulai suatu pertempuran besar. Ketika pertempuran hendak pecah, Muawiyah kemudian menawarkan rancangan perdamaian kepada Khalifah Hasan yang kemudian dengan pertimbangan persatuan Umat Islam, rancangan perdamaian Muawiyah ini diterima secara bersyarat oleh Khalifah Saidina Hasan dengan kekuasaan Kekhalifahan diserahkan oleh Khalifah Hasan kepada Muawiyah. Tahun itu kemudian dikenal dengan nama Tahun Perdamaian/Persatuan Umat (Am Jamaah) dalam sejarah Umat Islam. Sejak saat itu Muawiyah menjadi Khalifah Umat Islam yang kemudian dilanjutkannya dengan sistem Kerajaan Islam yang pertama yaitu pergantian pemimpin (Raja Islam) yang dilakukan secara turun temurun (Daulah Umayyah) dari Daulah Umayyah ini kemudian berlanjut kepada Kerajaan-Kerajaan Islam selanjutnya seperti Daulah Abbasiyah, Fatimiyyah, Usmaniyah dll.

Kerajaan Bani Ummaiyyah

* 661M- Muawiyah menjadi khalifah dan mengasaskan Kerajaan Bani Ummaiyyah.
* 670M- Mara ke Afrika Utara. Penaklukan Kabul.
* 677M- Penawanan Samarkand dan Tirmiz. Serangan ke atas Constantinople.
* 680M- Kematian Muawiyah. Yazid I menaiki takhta. Peristiwa pembunuhan Saidina Hussein.
* 685M- Khalifah Abdul Malik menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa rasmi kerajaan.
* 700M- Kempen menentang kaum Barbar di Afrika Utara.
* 711M- Penaklukan Sepanyol, Sind, dan Transoxiana.
* 712M- Tentera Ummaiyyah mara ke Sepanyol, Sind, dan Transoxiana.
* 713M- Penaklukan Multan.
* 716M- Serangan ke atas Constantinople.
* 717M- Umar bin Abdul Aziz menjadi khalifah. Pembaharuan yang hebat dijalankan.
* 725M- Tentera Islam menawan Nimes di Perancis.
* 749M- Kekalahan tentera Ummaiyyah di Kufah, Iraq ditangan tentera Abbasiyyah.
* 750M- Damsyik ditawan oleh tentera Abbasiyyah. Kejatuhan Kerajaan Bani Ummaiyyah.

Kerajaan Bani Abbasiyyah

* 752M- Bermulanya Kerajaan Bani Abbasiyyah.
* 755M- Pemberontakan Abdullah bin Ali. Pembunuhan Abu Muslim.
* 756M- Abd ar-Rahman I mengasaskan Kerajaan Bani [[Ummaiyyah Sepanyol.
* 763M- Penubuhan kota Baghdad. Kekalahan tentera Abbasiyyah di Sepanyol.
* 786M- Harun al-Rashid menjadi Khalifah.
* 792M- Serangan ke atas selatan Perancis.
* 800M- Kaedah sainstifik dicipta. Algebra dicipta oleh Al-Khawarizmi.
* 805M- Kempen menentang Byzantine. Penawanan Pulau Rhodes dan Cyprus.
* 809M- Kewafatan Harun al-Rashid. Al-Amin dilantik menjadi khalifah.
* 814M- Perang saudara di antara Al-Amin dan Al-Ma'mun. Al-Amin terbunuh dan Al-Ma'mun menjadi khalifah.
* 1000M- Masjid Besar Cordoba siap dibina.
* 1005M- Multan dan Ghur ditawan.
* 1055M- Baghdad ditawan oleh tentera Turki Seljuk. Pemerintahan Abbasiyyah-Seljuk bermula, yang kekal sehingga tahun 1258 apabila tentera Mongol memusnahkan Baghdad.
* 1085M- Tentera Kristian tawan Toledo (di Sepanyol).
* 1091M- Bangsa Norman tawan Sicily, pemerintahan Muslim di sana tamat.
* 1095M- Perang Salib pertama berlaku.
* 1099M- Tentera Salib tawan Baitulmuqaddis. Mereka membunuh semua penduduknya.
* 1144M- Nuruddin Zengi tawan Edessa daripada tentera Kristian. Perang Salib kedua berlaku.
* 1187M- Salahuddin Al-Ayubbi tawan Baitulmuqaddis daripada tentera Salib. Perang Salib ketiga berlaku.
* 1194M- Tentera Muslim menawan Delhi, India.
* 1236M- Tentera Kristian tawan Cordoba (di Sepanyol).
* 1258M- Tentera Mongol menyerang dan memusnahkan Baghdad. Ribuan penduduk terbunuh.Kejatuhan Baghdad. Tamatnya pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyyah-Seljuk.
* 1260M- Kebangkitan Islam. Kerajaan Bani Mamluk di Mesir (merupakan pertahanan Islam yang ketiga terakhir selepas Makkah & Madinah) pimpinan Sultan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz menewaskan tentera Mongol di dalam pertempuran di Ain Jalut.

Empayar Turki Uthmaniyyah

* 1243M- Bangsa Turki yang hidup secara nomad menetap secara tetap di Asia Kecil.
* 1299M- Sebuah wilayah pemerintahan kecil Turki di bawah Turki Seljuk ditubuhkan di barat Anatolia.
* 1301M- Osman I mengisytiharkan dirinya sebagai sultan. Tertubuhnya Empayar Turki Uthmaniyyah.
* 1345M- Turki Seljuk menyeberangi Selat Bosporus.
* 1389M- Tentera Uthmaniyyah menewaskan tentera Serb di Kosovo.
* 1402M- Timurlane, Raja Tartar (Mongol) menumpaskan tentera Uthmaniyyah di Ankara.
* 1451M- Sultan Muhammad al-Fatih menjadi pemerintah.
* 1453M- Constantinople ditawan oleh tentera Islam pimpinan Sultan Muhammad al-Fatih. Berakhirnya Empayar Byzantine.
* 1520M- Sultan Sulaiman al-Qanuni dilantik menjadi sultan.
* 1526M- Perang Mohacs
* 1529M- Serangan dan kepungan ke atas Vienna.
* 1571M- Perang Lepanto berlaku.
* 1641M- Pemerintahan Sultan Muhammad IV
* 1683M- Serangan dan kepungan ke atas Vienna buat kali kedua.
* 1687M- Sultan Muhammad IV meninggal dunia.
* 1703M- Pembaharuan kebudayaan di bawah Sultan Ahmed III.
* 1774M- Perjanjian Kucuk Kaynarca.
* 1792M- Perjanjian Jassy.
* 1793M- Sultan Selim III mengumumkan "Pentadbiran Baru".
* 1798M- Napoleon cuba untuk menawan Mesir.
* 1804M- Pemberontakan dan kebangkitan bangsa Serbia pertama.
* 1815M- Pemberontakan dan kebangkitan bangsa Serbia kedua.
* 1822M- Bermulanya perang kemerdekaan Greece.
* 1826M- Pembunuhan beramai-ramai tentera elit Janissari. Kekalahan tentera laut Uthmaniyyah di Navarino.
* 1829M- Perjanjian Adrianople.
* 1830M- Berakhirnya perang kemerdekaan Greece.
* 1841M- Konvensyen Selat.
* 1853M- Bermulanya Perang Crimea.
* 1856M- Berakhirnya Perang Crimea.
* 1876M- Perlembagaan Uthmaniyyah diluluskan.
* 1878M- Kongres Berlin. Serbia dan Montenegro diberi kemerdekaan. Bulgaria diberi kuasa autonomi.
* 1908M- Jawatankuasa Perpaduan dan Kemajuan atau lebih dikenali sebagai Turki Muda ditubuhkan. Perlembagaan Uthmaniyyah dikembalikan. Austria menyerang Bosnia dan Herzegovina.
* 1912M- Perang Balkan pertama.
* 1913M- Perang Balkan kedua.
* 1914M- Empayar Uthmaniyyah memasuki Perang Dunia I sebagai sekutu kuasa tengah.
* 1919M- Mustafa Kemal Atatürk mendarat di Samsun.
* 1923M- Sistem kesultanan dihapuskan. Turki diisytiharkan sebagai sebuah Republik.
* 1924M- Pejabat khalifah dihapuskan. Tamatnya pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyyah.

Fateh

Penawanan Constantinople(Istanbul,Turki)


HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; "..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……"

(Hadis riwayat Imam Ahmad)


_________________________________________________________

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Usmaniyah.

Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, "Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople". Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut "sebaik-baik raja" dan "sebaik-baik tentera" di dalam hadis tersebut.

PENGENALAN

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai "sebaik-baik raja" di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.

PENDIDIKAN

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Guru al-fatih berserban putih di sebelah kuda

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu' dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

Bantuan Dari Pope Vatican

rantai merentang teluk horn

Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.

rantai yang digunakan rantai merentangi teluk horn

Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

kapal merentasi gunung-laluan coklat di blakang kanan

Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

Karisma Seorang Pemimpin



Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, "Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!".

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran "Al Fatih" iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!". Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!". Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!". Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.

Isnin

Tafsir bab menerima dan menjadi tetamu

Tafsir Al-Quran
Surah An-Nur ayat 27-29


Firman Allah SWT,

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat".(27)

Sebab turun ayat

Diriwayatkan daripada Adiy bin Thabit, seorang lelaki kaum Ansar : Bahawasanya seorang wanita telah bertanya kepada Rasulullah saw : " Ya Rasulullah ! Saya sedang berada dalam rumah dalam keadaan saya tidak ingin dilihat oleh ayah mahu pun anak saya, tiba-tiba ada orang masuk ke rumah melihat saya apa yang patut saya lakukan ?", maka turunlah ayat ini.

Huraian ayat

Rumah adalah tempat menyimpan rahsia kerumahtanggaan. Pada kebiasaan, manusia itu ada dua wajah, wajah dalam rumah dan wajah di luar rumah. Apa yang berlaku dalam rumah adalah rahsia peribadi seseorang mukmin. Pendedahan aurat antara suami isteri serta anak-anak gadis adalah lumrah di dalam rumah.

Justeru itulah dalam ayat 27, Allah SWT mengajar hamba-hambaNya yang beriman supaya memiliki adab yang mulia apabila berkunjung ke rumah orang. Hikmahnya agar memelihara maruah tuan rumah supaya tidak kelihatan segala pemandangan yang mengaibkan diri dan keluarganya.

Ayat ini menjelaskan, antara adab yang perlu dilakukan ketika mengunjungi rumah orang ialah meminta izin dan memberi salam terlebih dahulu kepada penghuninya, moga-moga dengan cara itu akan menimbulkan perasaan kasih dan kemesraan sesama manusia.

Firman Allah SWT,

"Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: "Kembali (saja) lah", maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."(28)

Pada ayat 28, Allah SWT menyatakan sekiranya orang yang berkunjung itu tidak mendapat izin dari penghuni rumah, maka hendaklah ia pulang saja. Sikap demikian itu adalah lebih baik daripada berdiri di depan pintu rumah dengan niat memaksa penghuni rumah agar mengizinkannya kerana penghuni rumah kadang-kadang sedang sibuk dengan suatu pekerjaan dan dia tidak mahu diganggu oleh tetamu.

Jika rumah itu tidak ada penghuni yang berhak untuk memberi izin masuk meskipun ada kanak-kanak ataupun orang gaji, maka janganlah juga cuba masuk kerumah itu sehingga mendapat keizinan dari penghuni rumah yang sebenar. Ini kerana ada penghuni rumah yang tidak suka orang luar melihat apa yang terdapat di dalam rumahnya.

Dan juga mungkin kemasukan orang luar ke rumahnya mengakibatkan kehilangan sesuatu barang yang berharga akhirnya timbul tuhmah kepada orang yang memasuki rumah tersebut. Walaubagaimanapun jika memasuki rumah tersebut kerana kecemasan seperti memadamkan api kebakaran, menghalang berlakunya jenayah atau sebagainya tidaklah mengapa.

Firman Allah SWT seterusnya,

" Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak disediakan untuk di diami, yang didalamnya ada keperluanmu, dan Allah mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan" (29)

Pada ayat ke 29 pula Allah SWT menyatakan tiada kesalahan memasuki rumah yang tiada penghuni sekiranya sudah mendapat keizinan dari tuan rumah seperti memasuki kedai, hospital, dan lain lain. Di akhir ayat ini Allah SWT menyatakan bahawa Dia Maha Mengetahui niat baik dan buruk seseorang apabila masuk ke rumah orang.

Adab menerima tetamu

Dalam sebuah hadis,

إن الضيف إذا دخل بيت المؤمن دخل معه ألف بركة وألف رحمة


Maksudnya : Sesungguhnya tetamu itu apabia masuk ke rumah seseorang mukmin maka, ia masuk bersama dengan seribu berkata dan seribu rahmat.


Kunjung mengunjung amalan mulia

Antara adab tuan rumah dalam menyambut tetamu, hendaklah tuan rumah atau ahli keluarganya keluar atau bangun dan senyum menyambut mereka di depan pintu.

Hidangkanlah kepada tetamu jamuan yang istimewa pada hari pertama dan malamnya manakala pada hari berikutnya adalah jamuan biasa. Ini bersandarkan kepada hadis Nabi saw,

من كان يؤمن بالله واليوم الأخر فليكرم ضيفه جائزته, قالوا : يا رسول الله, وما جائزته ؟ قال : يومه وليلته . والضيافة ثلاثة أيام . فما كان وراء ذلك فهو صدقة عليه


Maksudnya : "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya dan memberinya jaizahnya (memuliakan tetamu). Para sahabat bertanya : Ya Rasulullah, Jaizahnya bila ? Nabi saw menjawab : (Memberi layanan) sehari semalam. Bertamu itu tiga hari, maka selebihnya adalah sedekah baginya. (HR Bukhari dan Muslim)

Makanan istimewa untuk tetamu

Makanan yang istimewa untuk tetamu pada hari pertama seelok-eloknya ialah daging sekiranya mampu. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 64 ketika menceritakan Nabi Ibrahim a.s sewaktu menyambut tetamunya,

" Sesungguhnya telah datang utusan-utusan kami kepada nabi ibrahim dengan membawa berita yang menggembirakan.Lalu mereka memberi selam dengan berkata:"Salam sejahtera kepadamu (wahai ibrahim)."Nabi ibrahim menjawab:"Salam sejahtera kepada kamu".Maka tidak berapa lama selepas itu,dia menghidangkan jamuan untuk mereka,seekor anak lembu yang dipanggang".


Namun begitu jika tidak mampu janganlah sampai membebankan, apa yang terbaik maka itulah yang dihidangkan. Sabda Rasulullah saw,

لا يتكلفن أحد لضيفه ما لا يقدر عليه

Maksudnya : Janganlah seseorang itu membebankan dirinya untuk melayani tetamu dengan menyediakan apa yang dia tidak mampu. (HR Al-Baihaqi)

Dan tetamu, janganlah merungut dengan makanan yang dihidangkan, sebaliknya hendaklah redha dengan makanan yang dijamu kepadanya. Itulah rezeki yang telah dikurniakan oleh AllahSWT kepadanya.

Sekiranya tetamu menginap di rumah lebih dari tiga hari, maka menjelang hari keempat dan seterusnya tuan rumah berhak memberitahu tetamu sekiranya tidak mampu melayan. Tetapi sekiranya mahu melayan juga, maka ia adalah sunat dan dikira sebagai sedekah. Sabda Rasulullah saw,

"Sungguh, secepat-cepatnya sedekah yang diterima Allah ialah menghidangkan (oleh seseorang) akan makanan yang baik, kemudian ia suruh saudara-saudaranya untuk menikmatinya." [HR. Ibnu Abu Dunya]

Sekiranya tuan rumah tidak menyediakan apa-apa hidangan untuk tetamu walau pun seteguk air, maka tetamu berhak mengambil sendiri apa yang mereka kehendaki pada batas yang berpatutan. Sabda Rasulullah saw,

أيما ضيف نزل بقوم فأصبح الضيف محروما (أى من الطعام وما يحتاجه) فله أن يأخذ ( أي من مال المضيف) بقدر قراه ولا حرج عليه


"Jika seseorang tetamu singgah di sesebuah rumah namun ia tidak dilayani maka ia berhak mengambil sekadar hak jamuan untuknya dan ia tidak berdosa". (HR Ahmad)

Bersama ipar duai ketika berbuka puasa

Yang dimaksudkan dengan "sekadar hak jamuan" ialah ukuran mengikut kadar kemampuan tuan rumah. Justeru untuk mengelakkan perasaan malu, apabila tetamu masuk ke dapur untuk mengambil haknya, maka adalah lebih baik jika tuan rumah sendiri menyediakan juadah sekadar yang dia mampu. Jika benar-benar tidak ada, maka terangkan secara jujur bahawa tidak ada apa-apa yang hendak dihidangkan.

Adalah sunat hukumnya menghantar tetamu pulang sehingga ke depan pintu rumah atau ke stesen bas atau keretapai jika mereka datang menaiki kenderaan awam. Sabda Rasulullah saw,

إن من السنة أن يخرج الرجل مع ضيفه إلى باب الدار


Maksudnya : Termasuk amalan sunnah bila kamu menghantar pulang tetamu sampai ke muka pintu rumah.

Adab menjadi tetamu

Beradasarkan surah an-Nur ayat 27 tadi, hendaklah para tetamu mengucapkan salam terlebih dahulu sebelum meminta izin untuk masuk.

Setelah salam yang pertama di beri tetapi tidak mendapat respon, maka tunggu dulu sebelum memberi salam yang kedua. Ketika itu tuan rumah mungkin sedang bersiap sedia mengemaskan diri dan rumah untuk menerima tetamu.

Kemudian beri pula ucapan salam yang ketiga. Sekiranya tiada juga respon maka hendaklah pulang. Berdalilkan hadis Rasulullah saw,

إذا استأذن أحدكم ثلاثا فلم يؤذن له فلينصرف


Maksudnya : Apabila seseorang kamu minta izin sampai tiga kali, namun masih belum juga diberi izin maka hendaklah dia beredar.

Sebelum diizinkan masuk, janganlah menghalakan mata ke dalam rumah. Sabda Rasulullah saw,

لو أن امرأ أطلع عليك بغير إذن فحذفته بحصات ففقأت عينه ما كان عليك جناح

Maksudnya : Kalau ada orang yang menengok-nengok rumahmu tanpa izin lalu engkau lempar batu sehingga matanya pecah, tidaklah engkau berdosa. ( HR Bukhari dan Muslim)

Jika sudah diizinkan masuk ke rumah, janganlah tetamu duduk sehingga dipelawa oleh tuan rumah dan ditunjukkan dimana tempat duduk. Jangan sekali-kali duduk di tempat khas milik tuan rumah, berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w:

"Janganlah seorang lelaki menjadi imam bagi lelaki lain di daerah kekuasaannya dan jangan duduk di tempat duduk yang dimuliakannya melainkan dengan izinnya." (HR Muslim)

Jika terdapat beberapa tetamu lain, hendaklah tuan rumah menyuruh mereka melapang-lapangkan tempat duduk untuk menempatkan tetamu yang baru datang. Firman Allah SWT :

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu." (Surah al-Majadilah, ayat 11)

Bagi tetamu yang baru datang, hendaklah dia duduk di tempat yang kosong yang ditemuinya sekalipun ia agak jauh dari tuan rumah. Janganlah menyelit-nyelit ke hadapan di antara tetamu untuk menghampiri tuan rumah atau menyelit duduk di antara dua tetamu yang sudah sedia duduk melainkan dengan meminta izin mereka berdua. Rasulullah s.a.w. menegaskan:

"Tidak halal bagi seseorang memisahkan dua orang (yang sedang duduk) kecuali dengan izin kedua-duanya." (HR Abu Daud )

Jika tidak mendapat izin atau memang tiada tempat duduk, maka jangan menyuruh orang yang sedang duduk untuk berdiri, sebaliknya duduklah di belakang atau di mana jua yang ditemuinya. Sabda Rasulullah saw,

"Janganlah seseorang menyuruh orang lain berdiri dari tempat duduknya lalu dia duduk di tempat itu." (HR Bukhari)

Demikian juga, apabila tetamu yang sedia memiliki tempat duduk bangun sebentar untuk sesuatu urusan sementara, janganlah diambil tempat duduknya sebagaimana sabda Rasulullah saw,

إذا قام أحدكم من مجلسه ثم رجع إليه فهو أحق به


"Apabila salah seorang kalian bangkit dari tempat duduknya kemudian kembali ke tempatnya, maka dia lebih berhak ke atas tempat tersebut."(HR Muslim)


Jagalah adab sopan ketika menikmati jamuan

Di mana jua tetamu itu duduk, amatlah penting untuk menjaga perbualan agar ia sentiasa berorientasi kepada kebaikan. Jauhilah perkataan yang buruk umpama mencerita keburukan orang, membuka rahsia, berburuk sangka, bergosip dan sebagainya kerana ia adalah perkataan yang dihasut oleh syaitan. Sabda Rasulullah saw,

"Tidaklah satu kaum itu duduk dalam satu majlis yang tidak diisi dengan zikir kepada Allah dan selawat ke atas Nabi mereka kecuali akan menjadi penyesalan ke atas diri mereka. Jika Allah berkehendak, Allah akan menyeksa mereka dan jika tidak Allah akan mengampunkan mereka." (HR Al-Tirmizi)


Jaga pertuturan semasa berbual

Perkataan yang baik ialah "zikir", iaitu apa sahaja subjek perbualan yang dapat mengingat serta menghubungkan seseorang kepada Allah. Juga selawat, yakni dengan membacakan hadis-hadis yang sahih. Ini kerana dalam menyampaikan hadis, semua orang akan berselawat setiap kali nama Rasulullah disebut.

Adab ketika pulang.

Apabila berziarah, janganlah meluangkan masa yang agak lama kerana ia akan memberatkan tuan rumah dan ahli keluarganya yang lain. Justeru Islam mengajar kita adab untuk segera pulang setelah dijamu oleh tetamu. Allah s.w.t. berfirman:

"Apabila kamu dijemput maka masuklah, kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual.." [Surah al-Ahzab, ayat 53]

Sebelum pulang, hendaklah meminta izin dari tuan rumah, janganlah terus menghilangkan diri. Sabda Rasulullah saw,

"Apabila salah seorang kamu mengunjungi saudara seagamanya dan duduk di sisinya, maka janganlah dia pulang melainkan dengan meminta izin terlebih dahulu." (Silsilah al-Shahihah)

Sebelum kaki melangkah keluar, hendaklah memberi salam terlebih dahulu kepada tuan rumah. Sabda Rasulullah saw,

"Apabila salah seorang kalian mendatangi satu majlis, maka hendaklah dia mengucapkan salam (Assalamu'alaikum) dan apabila dia hendak bangun (pulang dari majlis) hendaklah dia mengucapkan salam. Tidaklah salam yang pertama lebih utama dari salam yang kedua (melainkan ia sama-sama penting)." (Shahih Sunan Abu Daud)

Seterusnya berjabat tangan. Dalilnya,

"Berjabat tangan merupakan penyempurna ucapan salam yang kamu berikan." (Silsilah al-Dha'ifah).

Sebuah lagi hadis tentang kelebihan berjabat tangan,

Dari al-Barraa' bin Azib r.a., katanya Rasulullah s.a.w telah bersabda :

"Tidaklah dua orang Islam bertemu lalu saling bersalaman/berjabat tangan, melainkan diampuni dosa keduanya sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud, al-Tarmizi & Ibnu Majah)

Walaubagaimanapun, amalan berjabat tangan mestilah dilakukan mengikut syariat Allah s.w.t yakni dilarang berjabat tangan sekiranya tetamu itu bukan mahram.

Wallahualam,

Ust Hj Mohd Hishamuddin bin Mansor

Tetamu mai...(mari sama sama belajar)

 

BAGAIMANA KITA HARUS MELAYAN TETAMU

Memberikan layanan yang baik:

Menyambut tetamu dimuka pintu/di halaman rumah, janganlah apabila tetamu datang muka kita masam mencuka seolah-olah menunjukan kita memang tidak suka akan kehadirannya.

Menjawab salam dan berjabat tangan dengan mesra, janganlah menjabat tangan hanya dihujung jari sahaja.

Mempersilakan tetamu masuk dengan mesra, lebar-lebarkan senyuman tersebut. Bukan rugipun senyumkan. Orang kalau tidak cantik sekalipun, kalau selalu tersenyum pasti wajahnya akan berseri.

Sediakan tempat duduk yang selesa dan bersih


Bersifat ikhlas dan berlapang dada:

Gembira dan berlapang dada atas kedatangan tetamu, ramai dikalangan kita berasa terganggu dengan kedatang tetamu. Kenapa kita harus bersikap begini? Sesungguhnya kita harus bersyukur kerana masih ada orang yang sudi datang menziarahi ke rumah kita.


Menunjukkan muka yang manis

Sentiasa tersenyum dgn muka yang manis. Aduh saya pernah melihat orang bermasam muka apabila tetamu datang, bahkan menghempaskan pintu. Kenapa perlu begitu?

Berbual bertanya khabar sama tentang diri atau keluarga, pernahkah anda melihat tetamu terkial-kial seorag diri tetapi tuan rumah duduk di dalam bilik. Ini benar-benar biadap. Kalau anda jadi tetamu apa perasaan anda?

Jaga tutut kata supaya tidak mengikut perasaan


Menyediakan jamuan mengikut kemampuan

Makanan yg terbaik mengikut kemmapuan

Menjemput tetamu makan

Makan bersama-sama tetamu

Menghulurkan makanan kepada tetamu

Jangan mengemas hidangan sebelum tetamu selesai makan


Menyediakan kemudahan yang baik kepada tetamu

Layanan yang baik sebagai tetamu

Keperluan tandas dan bilik air yang bersih

Memberi keselisaan seperti kipas angin/bilik tempat berehat apabila tetamu ingin berehat

Jika tetamu membawa hadiah untuk kita, perlulah kita menerima dengan kedua-dua tangan, sambil mengucapkan terima kasih serta berwajah manis supaya dapat menyenangkan hati tetamu kita.


Kebaikan meraikan tetamu.

1.Murah rezeki, mendapat rahmat dan berkat drpd Allah swt

2. Bertambah kasih sayang antara tetamu dan tuan rumah yang dikunungi

3, Mendapat ganjaran pahala dan keampunan Allah swt

4. Menarik perhatian orang bukan Islam terhadap keindahan Islam