Khamis

Hari Raya AidilAdha (Korban)

Assalamualaikum, semua.
 
Selamat Hari Raya AidilAdha kepada semua .
Dikesempatan ini saya ingin memohon maaf atas segala kesalahan dan kesilapan saya kepada semua.
Semoga Allah mengkabulkan doa dan harapan kita .Amin.
 
Bersama ini saya sertakan sedikit tazkirah untuk manfaat bersama:
 
Pandangan Islam Terhadap Ibadat Korban
 
Islam mensyariatkan ibadat korban itu sebagai salah satu ciri mendekatkan diri kepada Allah. Justeru itu Islam telah menyusun dan mengatur tatacara berkorban itu dengan kemas dan sempurna.
Hikmat dari pensyariatan ibadat ini di antaranya ialah:
(i) Untuk mengekalkan ingatan kita kepada kisah Nabi Ibrahim yang mengorbankan puteranya Nabi Ismail 'Alaihimassalam dengan menyembelihnya, akan tetapi Allah menggantikannya dengan kibasy. Fakta ini dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam di dalam sebuah hadits:
Maksudnya: "Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata: "Para sahabat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?" Jawab Rasulullah: "Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim." Mereka berkata: "Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab: "Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya." Mereka berkata: "Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab: "Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya."
(Hadits riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi)
(ii) Memupuk sikap pemedulian dan keprihatinan terhadap masyarakat iaitu dengan memberi dagingnya sebagai makanan atau meluaskan rezeki orang-orang fakir miskin sempena Hari Raya, meskipun pada asalnya ia bertujuan untuk memberi manfaat kepada penduduk Makkah dan orang yang datang ke sana untuk mengerjakan haji. Firman Allah yang tafsirnya :
"Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka." ( surah Al-Hajj ayat 34)
(Surah Al-Hajj: 34)
(iii) Melahirkan kesyukuran kepada Allah terhadap nikmat hidup yang telah diberikanNya.
(iv) Menyemai dan menanamkan sifat dan nilai-nilai murni ke dalam diri dengan meneladani kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail 'Alaihimassalam dan sifat mereka yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah mengatasi rasa cinta kepada diri sendiri dan kepada anak.
Adapun dalil-dalil yang menunjukkan pensyariatan ibadat korban di dalam Islam adalah dari Al-Qur'an, sunnah dan ijmâ' yang tafsirnya :
"Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).
(Surah Al-Kautsar)
Sementara dalil daripada sunnah yang menunjukkan korban ini sebagai sesuatu yang disyariatkan ialah hadits yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu 'anhu, dia berkata yang maksudnya :
"Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam berkorban dengan dua ekor kibasy (biri-biri) putih yang bertanduk. Baginda menyembelih keduanya dengan tangan Baginda sendiri sambil membaca Basmalah dan bertakbir dan Baginda meletakkan (menginjakkan) kakinya di pangkal leher biri-biri itu."
(Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)