Rabu

Lailatul Qadar -Ya Allah ,Berikanlah Kekuatan kepada kami untuk beribadat dengan ikhlas.

 
"Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan" (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.).

"Carilah lailatul-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan". (Riwayat Imam Bukhari)

Ibnu 'Abbas r.a. menceritakan; Saidina Umar r.a. telah menghimpunkan sahabat-sahabat Nabi r.a. dan bertanya mereka tentang Lailatul-Qadar. Mereka semua bersepakat bahawa malam itu berada dalam lingkangan 10 malam terakhir Ramadhan (HR Imam at-Thabrani).

Adapun tanda-tanda zahir yang dapat dilihat pada malam tersebut dan pada siangnya, sabda Nabi s.a.w; "Lailatul-Qadar; malamnya cuaca/udara menyenangkan iaitu tidak panas dan tidak dingin, pada paginya matahari terbit dengan cahaya yang lemah dan kemerahan" (HR Imam Thayalisi dan al-Baihaqi dari Ibnu 'Abbas r.a.. Hadis ini menurut as-Suyuti; hasan. Lihat; al-Jami' as-Saghier, hadis no. 7728).

Berkata Imam al-Minawi; "Para ulamak menjelaskan; Tidak semestinya orang yang tidak nampak tanda-tanda (Lailatul-Qadar) ia tidak mendapat malam tersebut. Barangkali seorang yang bangun pada malam Lailatul-Qadar itu ia tidak memperolehi dari malam itu melainkan peluang beribadah dan tidak ada sebarang tanda yang dilihatnya. Dia lebih baik dan lebih mulia di sisi Allah dari orang yang melihat tanda-tandanya sahaja (tetapi tidak beribadah pada malam itu)" (Faidhul-Qadier, hadis no. 7728).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. At-Tajul Jami' Lil-Ushul, Syeikh Manshur 'Ali Nashif, jil. 2, hlm. 80.
2. Tafsir al-Quran al-Adziem, Imam Ibnu Kathir, surah al-Qadar.
3. al-Asas Fi at-Tafasir, Syeikh Said Hawa, surah al-Qadar.
4. Faidhul-Qadier; syarh al-Jami' as-Saghier, Imam al-Minawi.