Khamis

Tazkirah Ramadan #1

Assalamualaikum, semua.
1.

Riwayat At Tirmizi, Sabda Rasulullah S.A.W. : "Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan ia suka beramal untuk bekalan sesudah mati, sedangkan orang yang Ahmaq (bodoh) ialah orang yang selalu mengikut hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah S.W.T." (berangan untuk mendapatkan kebaikan diakhirat dan pengampunan tetapi ia tidak mahu beramal atau bertaubat) .

 

2.

Sabda Rasullullah s.a.w. maksudnya:
 "Kalau kamu bertawakkal kepada Allah dengan tawakkal yang sebenarnya, nescaya Allah memberi kamu rezeki sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung, keluar dari sarang pada waktu pagi dengan perut kosong dan pulang petangnya dengan perut penuh."
 
- H.R. Imam Ahmad, Tarmizi, Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Hakim - 
 
3.
Hadith:-
 
Dari Jabir r.a katanya , dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah SWT belaka."
 
(Riwayat Muslim)
 
Huraian:
 
Orang yang beriman sangat yakin akan rahmat dan pertolongan Allah SWT. Oleh itu mereka tidak pernah berputus harap dari rahmatNya kerana kasih sayang Allah tidak bertepi. Antara syarat-syarat untuk memperolehi rahmat Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Dailami dari Ibnu Abbas r.a Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Allah SWT merahmati orang-orang yang dapat menjaga tutur katanya, mengenal masa (ketika dia hidup) dan istiqamah dalam hidupnya."  
 
4.
Hadith:-
 
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Nabi SAW bersabda: "Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda."
 
(Riwayat Muslim)
 
Huraian:-
 
Kehidupan ini akan menjadi indah jika kita sentiasa besemangat untuk meneruskan hayat. Dengan perkataan lain apabila semakin tua usia kita, jiwa kita semakin muda. Tetapi muda di sini bukanlah bermaksud menganggap kematian itu masih jauh sehingga tidak kenal erti taubat dan tidak habis-habis melakukan maksiat yang walaupun usia sudah lanjut masih juga bergelumang dengan dosa. Maka sebagai insan yang percayakan kedatangan hari Kiamat dan kematian itu akan datang pada bila-bila masa, seharusnya tidak menanamkan kecintaan berlebihan terhadap dunia kerana esok sebenarnya bukanlah satu kenyataan. Bahkan kenyataannya adalah di saat-saat sekarang. Oleh itu jalan yang paling selamat ialah dengan berpegang pada prinsip bahawa seseorang itu harus berusaha (bekerja) seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya dan beribadat seolah-olah dia akan mati pada esok harinya.